Maka jiwa-jiwa yang mengikuti jalan ini, haruslah bersedia fizikal, mental, rohani dan intelek dalam menghadapi liku kehidupan berbentuk mehnah dan tribulasi yang mendatang. Tarbiyah yang sebenarnya bermula saat diri kita rasa ingin berubah menjadi lebih baik, dan kita mula sedar saat kita sebenarnya mempunyai amanah sebagai seorang muslim. Amanah tersebut bukanlah sekadar untuk diri sendiri, tetapi kita mempunyai amanah yang lebih besar, iaitu untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi. Justeru, persiapan diri yang rapi adalah sangat perlu dalam menghadapi setiap langkah bermula daripada individu muslim menuju ke Ustaziatul Alam dalam kerangka maratib amal yang telah digariskan. Apakah persiapan yang diperlukan?
Imam Hassan Albanna telah mnggariskan 10 muwasofat tarbiyah ataupun 10 ciri peribadi muslim yang perlu ada dalam menjana generasi harapan yang akan memberi sinar yang gemilang untuk Islam pada masa hadapan. Kerangka ciri-ciri peribadi muslim ini adalah sangat teliti dan menyeluruh dalam membina jiwa muslim supaya sanggup berkorban demi agama. Tanpa persiapan yang rapi, maka kita akan mudah goyah apabila berdepan dengan ancaman-ancaman yang menggugat prinsip dalam diri. Antaranya ciri individu muslim adalah aqidah yang sejahtera. Aqidah yang sejahtera merupakan lambang ketaatan kita kepada Allah dan rasululah yang diterjemah melalui ibadah yang sohih berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam. Aqidah dan Ibadah adalah prinsip asas yang sangat penting dalam membina kepribadian muslim kerana dua perkara tersebut akan membina hubungan kita dengan Allah dan menzahirkn rasa pengabdian kita padaNya. Seterusnya, akhlak yang mantap dengan mencontohi keperibadian Rasulullah s.a.w harus diterapkan dalam diri setiap individu muslim supaya sikap dan keperibadian kita yang terzahir dengan perilaku dan tutur kata dapat mencerminkan keindahan Islam yang sebenar. Aqidah, ibadah dan akhlak adalah asas paling penting dalam membentuk diri sebagai individu muslim yang melewati jalan tarbiyah. Selain itu, dalam meneraju arus dunia yang semakin mencabar, persiapan ilmu dan amal haruslah dititikberatkan. Persiapan ilmu boleh dilakukan dengan banyakkan bahan bacaan yang bermanfaat, sentiasa merujuk kepada murobbi sekiranya ada sebarang persoalan atau kemusykilan, dan sebagainya. Dalam mendidik diri menjadi muslim yang sejati yang menjalani tarbiyah, kita haruslah bijak mengurus waktu supaya urusan kehidupan kita tersusun dengan menjaga masa dengan baik. Secara tidak langsung pengurusan masa yang berkualiti dapat menjamin diri untuk optimis dengan urusan kehidupan harian kita disampin amal ibadah dan wasilah tarbiyah yang harus kita jalani. Kita juga haruslah menjaga kesihatan tubuh badan supaya fizikal kita sentiasa cergas dalam melakukan aktiviti harian dan sentiasa bersedia dalam beramal kerana Allah. Seterusnya, dalam menjana jiwa untuk sentiasa bersedia dalam amal jamaie, hawa nafsu haruslah dicegah dan dilawan supaya kita tudak tunduk dengan bisikan syaitan yang melalaikan. Akhirnya, dengan menjalani wasilah tarbiyah yang disusun atur demi melahirkan seorang akh dan ukht yang bersedia untuk menjadi agen Islam yang berkualiti dalam membawa kesyumulan Islam dalam kehidupan masyarakat, negara serta dunia, sifat berdikari akan terlahir dari hati yang murni. Tarbiyah secara keseluruhannya akan mendidik dalaman dan luaran seorang muslim secara menyeluruh supaya keindahan Islam itu dapat terzahir melalui akhlak yang peribadi yang mulia. Insan yang melalui tarbiyah umpama batu-bata yang tersusun rapi dan kukuh. Batu-bata tersebut kemudiannya menjadi tiang, dan akhirnya terjadilah bangunan yang teguh berdiri berasaskan bahan binaan yang kukuh, tegar menjadi benteng yang menangkis badai jahiliyah melata. Dengan tarbiyah, jiwamu kental melawan nafsu serakah. Tanpa tarbiyah, gerenti rebah! Nurul Ain binti Abdullah JK Unit Media PEMBINA UM Comments are closed.
|
AuthorUnit Media Archives
May 2016
Categories
All
|