Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera rakyatnya sebaik-baik rakyat.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Sorotan sejarah menghamparkan para pejuang yang tidak gentar menghadapi musuh Allah. Pejuang yang sedar akan keislamannya dan kesaksian syahadah yang agung dalam mempertahan dan mendaulatkan Islam sehingga Islam itu mampu tertegak di bumi Allah dengan makmur akan terus berusaha untuk menyebar luas agama Allah serta memakmurkan bumi dengan syariat Islam yang mulia. Janji Allah melalui kalam Rasulullah itu tidak pernah luput di hati para khalifah dan tentera muslimin untuk mencapai cita menawan Konstantinople. Kemenangan yang dijanjikan tersebut bukanlah satu kemenangan yang bersifat segera, tergesa-gesa dan untuk kepentingan diri, tetapi ia menjadi satu gambaran titik tolak bahawa dalam menuju tujuan Ustaziatul Alam, strategi pembentukan diri haruslah melalui tingkatan-tingkatan amal selaras harus dipadu bersama dengan panduan yang digariskan oleh Syahid Imam Hassan Al-Banna iaitu bermula dengan Individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, Kerajaan Islam, Negara Islam, Empayar Islam, Ustaziatul ‘Alam.
Mana mungkin sebaik-baik pemimpin yang dijanjikan dapat mendidik tentera dan rakyatnya untuk beriman kepada Allah dan menjadi sebaik-baik tentera tanpa strategi dan pembentukan akhlak serta jiwa yang sanggup berkorban demi agama? Rakyat yang beriman akan dikurniakan pemimpin yang bertaqwa. Ayuh kita imbas kembali kisah Sultan Muhammad Al-Fateh bersama tenteranya yang amanah dan jujur dalam mentaati perintah Allah, Rasul serta pemimpinnya. Pernah suatu hari dalam perjalanan untuk menuju ke Konstantinople, tentera Uthmaniyah dibawah sultan Muhammad al-Fateh telah melalui sebuah ladang anggur yang luas dan indah di pandangan mata. Anggur-anggur di dalam ladang itu sedang masak dengan begitu ranum. Sebelum melalui ladang itu , Sultan Muhammad Al-Fateh mengingatkan tentera-tenteranya agar jangan mengambil anggur tersebut walaupun satu biji. Perjalanan diteruskan hinggalah tiba disuatu tempat rehat dan khemah didirikan. Tiba-tiba, pembantu Muhammad Al-Fateh keluar dari khemah itu dan meminta semua tentera berkumpul. Dia memberitahu kepada semua tentera bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh dalam keadaan tenat dan bermungkinan besar Sultan Muhammad Al-Fateh akan mangkat sekiranya anggur tersebut tidak didapati. Pembantu tersebut meminta pada semua tentera jika mereka ada anggur untuk mengubati sakit tuan mereka. Tentera mereka cemas dan gelisah. Tiada seorangpun diantara ribuan tentera mempunyai walaupun sebiji anggur. Ketika itu, tahulah Muhammad Al-Fateh bahawa bukan sahaja tentera-tenteranya hebat dari segi fizikal dan dalam peperangan , malah rohani mereka juga hebat, ternyata seorangpun tentera tidak mengingkari perintahnya. Kemudian, keluarlah Sultan Muhammad Al-Fateh dari khemahnya dan memuji tenteranya serta memberitahu berita itu sekadar ujian. Kisah seperti ini memberi refleksi kepada kehidupan kita bahawa janji Allah itu pasti. Allah akan mengangkat pemimpin bertaqwa seiring masyarakat yang beriman kepada Allah. Adapun pemimpin yang tidak menegak syiar Allah akan terhasil daripada kepincangan akhlak dan keimanan rakyat kerana pembentukan diri yang rapuh dan tidak utuh dalam menjalani kehidupan berlandaskan syariat Islam. Pembentukan Masyarakat Islam dalam melahirkan generasi harapan yang akan mendokong gagasan Islam yang agung ini harus bermula dari pembentukan diri belia. Sejarah menunjukkan bahawa pendidikan dan pembentukan sahsiah yang terancang berlandaskan syariat Allah oleh keluarga Sultan Muhammad Al-Fateh telah memberi kesan yang sangat besar dan mendalam bukan sekadar kepada dirinya sahaja, tetapi juga beliau mampu untuk membentuk tentera dan rakyatnya untuk beriman kepada Allah dan bersama mempertahankan Islam sehingga akhir nyawa. Realiti kehidupan kini dalam isu pemimpin tidak amanah dan rakyat yang pincang dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup hanyalah gerhana, bukan terbenam matahari. Kita merupakan ejen yang bukan sekadar berusaha dalam melahirkan pemimpin bertaqwa seperti Sultan Muhammad Al-Fateh, tetapi juga kesedaran dalam membawa Islam sebagai cara hidup kepada seluruh masyarakat mesti dilakukan dengan konsisten dan teratur agar Islam dapat tertegak di tanah air kita setelah kita berusaha membimbing masyarakat untuk menegakkan Islam dalam jiwa dan penghayatan yang lebih mendalam dalam kehidupan. Nurul Ain binti Abdullah Unit Media, PEMBINA UM Comments are closed.
|
AuthorUnit Media Archives
May 2016
Categories
All
|