Walaubagaimanapun, seperti mana perkara lain seperti hal-hal budaya, politik, dan sosial yang bergerak dengan sangat rencam, begitu juga dengan situasi pasaran kerja semasa yang berubah dengan sangat pantas. Jika zaman dahulu, graduan tidak perlu risau dengan kerja kerana habis sahaja pengajian, pelbagai peluang pekerjaan menanti untuk graduan tersebut diserap masuk, kini perkara tersebut tidak lagi berlaku dengan begitu mudah. Kesemuanya terpaksa bersaing dengan graduan lain yang juga berada di dalam satu lautan bagi mendapatkan posisi pekerjaan yang ditawarkan, biarpun pekerjaan tersebut tidak ada kena mengena dengan kursus pengajian semasa di universiti dahulu.
Bahkan baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan Senator Choong Sin Woon mengatakan sebahagian graduan terpaksa menggunakan kelayakan SPM sahaja untuk meminta pekerjaan kerana ijazah yang mereka peroleh tidak dapat diguna pakai. Katanya, selain daripada persaingan sengit dalam pasaran kerja dan kelembapan ekonomi, kesilapan dalam membuat penilaian antara “job demand” dengan kelulusan yang mereka peroleh juga merupakan faktor kepada masalah ini. Pada masa yang sama, di negara luar, Kumpulan Penerbitan Buku Global Random Penguin House mengumumkan yang mereka tidak lagi akan meletakkan syarat hanya pemegang ijazah sahaja layak memohon pekerjaan dengan mereka. Syarikat tersebut mengatakan yang mereka ingin membuka lebih ramai individu yang datang daripada pelbagai latar belakang agar dapat mewarnai industry tersebut. Bahkan, pengarah sumber manusia mereka Neil Morrison mengatakan yang tidak ada kesimpulan mudah menunjukkan kaitan hubungan antara beroleh ijazah dengan peningkatan kerjaya professional dengan cemerlang. Dan trend ini bukan setakat pada syarikat Random Penguin House sahaja, malah syarikat firma perakaunan terkenal Ernst & Young juga menurut jejak langkah yang sama dengan mengatakan mereka tidak akan lagi melihat kelayakan ijazah apabila mencari pekerja yang berpotensi. Nah! Dengan situasi semasa yang semakin rencam ini, mindset “ada ijazah terus dapat kerja” bukanlah sesuatu yang bagus. Justeru itu, kita sebagai mahasiswa haruslah sedar akan realiti semasa dan menyesuaikan diri dengan menggali dan mencari kemahiran, pengalaman, dan ilmu yang sesuai untuk menghadapi reality ini selain daripada memantapkan penguasaan ilmu di dewan-dewan kuliah yang sememangnya mesti diutamakan. Ada suatu ungkapan Inggeris iaitu “if you don’t adapt, you die” adalah suatu yang menarik untuk kita renungkan. Selain daripada itu, ayuhlah kita beranikan diri meneroka idea-idea baru bagi membuka peluang-peluang pekerjaan dan pendapatan pada masa hadapan. Telah ada pelbagai contoh di hadapan mata kita, baik daripada orang tempatan mahupun luar negara yang telah berjaya membuktikan idea-idea mereka di alam reality. The Lorry sebagai contoh, satu start up anak muda berasaskan perkhidmatan logistic yang baru-baru ini mendapat suntikan dana sebanyak 1.5 juta US$ daripada sebuah syarikat korporat berjaya membuktikan kekuatan anak muda dalam melaksanakan sesuatu idea dan harus menjadi motivasi buat kita semua. Walaubagaimanapun, dalam keghairahan kita meneroka idea baru, jauhilah penipuan dan penyelewengan sebagaimana skim-skim cepat kaya yang penuh tipu daya lakukan dengan menipu orang ramai dengan pelbagai janji kosong itu dan ini. Laksanakan idea kita dengan jujur dan bersungguh-sungguh, inshaAllah akan berjaya juga suatu hari nanti. Oleh itu, ayuh mahasiswa, kita buktikan kemampuan masing-masing dengan segala mengerahkan kudrat dan akal fikiran yang ada. Jangan biarkan cabaran-cabaran seperti ini menghalang impian kita daripada berjaya. Dan juga sekarang ini bukan masa untuk termenung melayan perasaan tanpa berbuat apa-apa. Kita harus terus bergerak dan jalan terus walau gagal seberapa banyak sekali pun dalam percubaan itu. Seperti mana kata Buya Hamka untuk kita fikir-fikirkan ini, “biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, namun cita-cita menusia tidak pernah padam”. Ahmad Fitri bin Ahmad Daud Ketua Pakej Rekreasi PEMBINA UM Comments are closed.
|
AuthorUnit Media Archives
May 2016
Categories
All
|