Perbuatan keganasan seperti ini biarpun diatas nama kan dengan perbuatan jihad pada kefahaman mereka sudah tentu menimbulkan panic dalam kalangan rakyat kerana isu keselamatan adalah suatu perkara yang amat perlu diambil serius. Apatah lagi, kumpulan ini menggunakan nama Islam untuk menghalalkan perbuatan tersebut. Maka, perhatian perlu diambil secara serius baik daripada aspek keselamatan dan juga pada aspek memberi pencerahan terhadap isu ini memandangkan fitnah dan momokan terhadap Islam sebagai ajaran yang mempromosikan keganasan kian mekar semula sebagaimana selepas kejadian 9/11 di Amerika Syarikat yang lalu.
SEJARAH KUMPULAN Berdasarkan sumber daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 yang lalu (boleh dilihat sumber ini pada laman web http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-umat-islam-malaysia-yang-berjuang-atas-nama-isis-0), mereka mendapati bahawa sejarah kumpulan ISIS adalah suatu kesinambungan daripada gerakan Salafi Jihadi di Iraq. Gerakan Salafi Jihadi di Iraq ini pada asalnya terdiri daripada tiga organisasi jihad yang berbeza.
Rentetan daripada ini, telah dapat kita saksikan begitu banyak video dan berita daripada kumpulan ini bertindak di luar batas-batas Islam dan kemanusiaan seperti membunuh manusia sesuka hati dengan cara yang kejam dan melakukan pengeboman berani mati. Biarpun melaungkan jihad dan takbir pada perbuatan mereka itu, ianya sudah tentu tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar. Adalah suatu yang pelik dan aneh bagi seorang yang sihat akalnya untuk menerima perbuatan kejam dan ganas seperti mereka ini. MUZAKARAH JAWATANKUASA FATWA MAJLIS KEBANGSAAN BERKENAAN ISU ISIS Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berpandangan bahawa kecenderungan sebahagian kaum Muslimin untuk berjihad dan menyertai kumpulan ISIS ini adalah berpunca daripada kekeliruan memhami konsep dan jihad yang sebenar menurut hukum syarak. Bahkan, makna yang dipegang oleh mereka adalah bercanggah dengan hakikat yang dibawa oleh ajaran Islam yang sebenar dan boleh membawa kepada kekufuran kerana menghalalkan perbuatan menumpahkan darah sesama umat Islam. Hasil daripada berbincangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu juga memberi penekanan bahawa rakyat Malaysia yang telah pun atau ingin berjuang di Syria dengan bersama kumpulan ini iaitu ISIS adalah hanya sebuah perjalanan yang sia-sia sahaja kerana perjuangan tersebut telah pun menyimpang daripada makna jihad yang sebenar. Kebanyakkan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di seluruh dunia juga memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan ideologi kumpulan ini. Yang mana ideology nya menjurus kepada keganasan dengan sikap mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka serta menghalalkan darah. Bahkan para ulama ahli Sunnah melabelkan kumpulan ini sebagai khawarij di zaman moden. Perbuatan mereka membunuh rakyat yang tidak berdosa dan menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman adalah suatu perkara yang tidak dapat diterima oleh akal dan hati budi yang inginkan keamanan. Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli al-Bakri dalam kenyataan nya juga menyatakan sokongan dan dokongan kepada kumpulan ini adalah bercanggah dengan syariah Islam yang sebenar. Tambahnya lagi, dengan melihat kepada syarat Khilafah Islamiyyah seperti yang dinukilkan oleh al-Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah dan lain-lain lagi jelas menunjukkan tindakan-tindakan ISIS adalah tidak bertepatan dengan pelaksanaan negara Islam dan juga Khilafah. PESANAN BUAT RAKYAT MALAYSIA TERUTAMANYA KEPADA GOLONGAN BELIA Kita sebagai golongan belia Islam yang punyai azam dan semangat untuk menyumbang dan berbakti kepada Islam haruslah berhati-hati dengan mengutamakan kefahaman ilmu terlebih dahulu dalam setiap jalan perjuangan yang dipilih. Biarpun sesebuah kumpulan itu menggunakan label bernuansa kan Islam seperti jihad dan menegakkan khilafah, ianya tidak menjadi lesen untuk menyertai mereka dengan sewenang-wenang nya tanpa memahami perjuangan tersebut dengan baik terlebih dahulu. Kita harus sentiasa berwaspada supaya tidak terpengaruh dengan propaganda dan keganasan yang diangkat oleh kumpulan ISIS ini. Apatah lagi pada zaman yang penuh fitnah dan tepu dengan tipu daya ini. Sekarang adalah masa yang kritikal untuk kita bersikap kritikal pada banyak perkara. Utamakan ilmu terlebih dahulu daripada mendahului semangat melulu yang boleh jadi disalurkan ke arah jalan yang salah. Ayuhlah kita menginsafi dan jujur menilai diri sendiri terlebih dahulu dengan berusaha mencari ruang yang betul bagi meneguhkan syariat dan memartabatkan syiar Islam di negara kita. Pada masa yang sama, kita berusaha sebaik mungkin dengan mencari saluran yang betul untuk membantu negara Islam yang sedang bergolak itu dengan bantuan perubatan, makanan, dan pendidikan kepada saudara-saudara se-Islam kita yang sedang berada di kem pelarian di Turki, Jordan, dan lain-lain. Bahkan, sudah ada beberapa kumpulan daripada rakyat Malaysia sendiri yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan seperti ini. Akhir kata, semoga Allah memberi kita semua taufiq dan hidayah serta ilmu kefahaman yang sebenar berkaitan Islam dalam usaha kita mencari keredhaan-Nya. Sumber :
Ahmad Fitri bin Ahmad Daud Ketua Pakej Rekreasi PEMBINA UM Comments are closed.
|
AuthorUnit Media Archives
May 2016
Categories
All
|