Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi, cuaca panas yang dirasai pada ketika ini adalah berpunca daripada fenomena El Nino yang sangat kuat. Beberapa kawasan seperti di Chuping, Perlis ; Alor Setar, Kedah, dan Lubuk Merbau, Perak telah pun mencatatkan gelombang haba sehingga mencecah paras maksimum. Seperti mana yang kita maklum, fenomena El-Nino adalah merupakan suatu bentuk climate varibality yang berlaku secara tidak tetap dalam tempoh 2 tahun hingga 7 tahun. Kesan daripada keadaan ini akan mencetuskan suatu fenomena yang dipanggil gelombang haba, iaitu situasi yang boleh membawa risiko kesihatan hipertermia atau lebih dikenali sebagai strok haba. Kejadian ekuinoks pula merupakan kejadian astronomi di mana kedudukan matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa. Tahun ini, kejadian ekuinoks berlaku pada 20 Mac 2016. Begitu sedikit sebanyak penjelasan cuaca panas yang sedang berlaku sekarang. Ini sudah tentu menyedarkan kita bahawa perubahan iklim adalah suatu perkara yang benar. Bahkan, ianya adalah salah satu cabaran buat umat manusia pada abad ini untuk bersungguh-sungguh memikirkan solusi bagaimana untuk menguruskan keadaan yang makin hari makin mencabar ini. Namun, semasa berinteraksi dengan keadaan ini, kita boleh memilih untuk sekadar melihat fenomena alam ini daripada kaca mata penjelasan saintifik sahaja dengan membaca penjelasan, artikel saintifik, dan laporan berita semata-mata ataupun membuat pilihan untuk mengambil ibrah daripada segala kejadian yang berlaku ini dengan insaf dan jujur daripada kaca mata seorang Muslim. Allah SWT telah pun memberi peringatan bahawasanya setiap bencana yang terhasil daripada tangan manusia ini adalah sebuah kejadian yang telah pun diaturkan oleh-Nya. Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41] Ya, fenomena El-Nino adalah suatu fenomena alam semula jadi yang akan terjadi berulang-ulang kali. Namun, segala kerosakan di langit, laut, mahupun bumi, yang saban hari dilakukan oleh tangan-tangan manusia pada masa ini adalah suatu perkara yang kita tidak mampu untuk menafikannya. Sudah pasti setiap perbuatan itu berada di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Berkuasa. Dan kita sebagai hamba-Nya tidak akan terlepas walau sedikit terhadap perbuatan kita itu. Bencana datang untuk menyedarkan kita semua agar kembali insaf dan bertaubat. Langsung, dengan cuaca panas sebegini, surah Al-Qariah benar-benar memberi mesej yang begitu kuat kepada kita supaya berfikir akan hakikat jika cuaca panas sebegini pun tidak mampu badan menanggung, apatah lagi keadaan di akhirat sana. 101 : 1 – Hari yang menggemparkan, 101 : 2 - Apa dia hari yang menggemparkan itu? 101 : 3 - Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? 101 : 4 - (Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, 101 : 5 - Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. 101 : 6 - Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, 101 : 7 - Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. 101 : 8 -Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, 101 : 9 -Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah". 101 : 10 -Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? 101 : 11 -(Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar. Ayuh lah, kita kembali menjadi hamba kepada Yang Maha Berkuasa. Ahmad Fitri bin Ahmad Daud Ketua Pakej Rekreasi, PEMBINA UM Sumber
Comments are closed.
|
AuthorUnit Media Archives
May 2016
Categories
All
|