BANGI, 9 Okt- Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengecam sekerasnya kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang tidak ada halangan untuk membenarkan pesta arak, ‘Oktoberfest’ untuk terus dijalankan kerana ianya anjuran orang bukan Islam. Menurut Presiden PEMBINA, Ibrahim Mohd Hasan, beliau sedih apabila seorang pemimpin Islam tidak mampu mengambil tindakan dalam menghalang kegiatan tidak bermoral itu, tetapi mengambil tindakan membenarkannya. “Sedih apabila melihat MP Shah Alam seorang Muslim tetapi tidak dapat membezakan antara minum arak dan pesta arak”, tegas beliau di dalam akaun laman sosial ‘facebook’ miliknya. Pada masa yang sama, beliau memberi cadangan kepada para pengundi untuk menasihati Khalid Samad agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin Islam. “Sekurang-kurangnya pengundi beliau boleh memberi nasihat supaya beliau sedar dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin Islam”, sambung beliau dalam status facebooknya. Khalid Samad sebelum ini memberi kenyataan di ISMAweb berkenaan pendiriannya yang tidak akan menghalang penganjuran pesta arak ‘Oktoberfest’ kerana Malaysia negara majmuk dan penganjurnya merupakan orang bukan Islam. Pesta arak ‘Oktoberfest’ merupakan anjuran Carlsberg yang telah bermula sejak 24 September lalu di RP, Saujana Hotel Subang dan diikuti di Berjaya Time Square Hotel, Brussels Setia Walk, Puchong, I Beam, Batu Pahat, Johor, Deutsches Gasthaus, Kepong, KL, Hakka Restaurant Kuala Lumpur, Movida, Sunway Giza, PJ dan Euro Deli, Penang. Kemuncak pesta ini akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta, One Utama Petaling Jaya. Nashrul Izwan Abdul Aziz Wartawan PEMBINA
0 Comments
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Persatuan Belia Islam Nasional Universiti Malaya (PEMBINA UM) buat julung kalinya turun padang untuk menyambut kemasukan mahasiswa tahun pertama ke Universiti Malaya yang merupakan Universiti terulung di Malaysia. Para aktivis PEMBINA UM mengedarkan risalah takwim Universiti Malaya sambil beramah mesra bersama para ibu bapa dan mahasiswa tahun pertama yang baru menjejakkan kaki ke alam universiti yang mencabar demi mengejar cita-cita. “Mahasiswa sebagai pemimpin masa hadapan, pencorak ummah sewajibnya memiliki jati diri Islam yang syumul dan cemerlang daripada semua aspek.”, ujar Amirul Eqhwan, Yang Dipertua PEMBINA Universiti Malaya. “Maka bertitik tolak daripada itu, hadirlah PEMBINA sebagai sebuah platform untuk para belia, khususnya mahasiswa memantapkan diri bukan sahaja dari aspek akademik, malah dari aspek kepimpinan, tarbiah dan seluruhnya.” , sambungnya lagi. Menurut Muhammad Ghazali Ya’id selaku Pengerusi PEMBINA Kuala Lumpur, mahasiswa harus memilih jalan yang terbaik untuk mencorakkan diri ke arah pemahaman dan aplikasi nilai Islam yang sempurna di pelbagai peringkat kehidupan. PEMBINA menawarkan program usrah sebagai platform pembentukan yang sesuai dengan kepelbagaian latar belakang mahasiswa. PEMBINA UM menawarkan lima pakej iaitu Tarbiyah, Kepimpinan, Media, Rekreasi dan Bakti yang meliputi pembentukan jati diri secara menyeluruh luaran dan dalaman dalam melahirkan mahasiswa intelek yang berkepimpinan dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta. Ayuh bersama PEMBINA Universiti Malaya, bersama kita meneraju arus mahasiswa! Nurul Ain binti Abdullah Wartawan PEMBINA Universiti Malaya |
AuthorUnit Media Archives
April 2018
Categories
All
|